twitter


Persekitaran Bilik Darjah yang Kondusif

Bagaimana untuk membina bilik darjah yang kondusif???

Apakah faktor yang perlu diambil kira???


1) PERSEKITARAN FIZIKAL

Suasana fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran kerana suasana bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan.  Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pengajaran. Persekitaran yang selesa, kemas dan ceria mampu menyeronokkan pengalaman pembelajaran murid.  Persekitaran fizikal di dalam bilik darjah merangkumi aspek-aspek seperti susunan dan reka bentuk fizikal di dalam bilik darjah, sumber bahan pembelajaran, ruang atau sudut pembelajaran, ruang pada dinding, pengcahayaan, pengudaraan dan perabot serta kebersihan. Di samping itu, pengurusan bilik darjah juga termasuk menunjukkan sikap positif terhadap sekolah dan pembelajaran secara umum.

2)  PERSEKITARAN PSIKOSOSIAL

Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti suasana selesa dan mesra, bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal, suasana yang merangsang pembelajaran, menggalakkan pembelajaran koperatif dan memberi peluang yang sama untuk semua murid. Faktor yang memberi kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang guru wujudkan di dalam bilik darjah.  Jika persekitaran psikososial ini tidak dititikberatkan oleh guru, masalah disiplin akan berlaku dalam kalangan murid.  Oleh itu, bagi menguruskan keperluan psikososial setiap murid, guru perlulah menjadi seorang guru yang asertif. Mengikut Model Disiplin Asertif Canter, pendekatan yang terbaik untuk menguruskan bilik darjah adalah dengan menggunakan pendekatan asertif. Guru asertif mempunyai matlamat yang jelas dengan pengurusan, yakin dan tegas dalam menetapkan peraturan dan pada masa yang sama akan bersikap adil kepada semua murid. Jika seorang guru ini konsisten bersikap asertif ini dapat membantu membina persekitaran yang tenang dan menyokong perkembangan pembelajaran dan psikososial murid.

3) PERATURAN BILIK DARJAH

Pada umumnya, murid sekolah rendah mula berdikari namun mereka masih memerlukan pemantauan. Pada peringkat ini, mereka suka diberi perhatian dan menunjukkan respon yang positif apabila diberi insentif atau hadiah. Menurut Erik Erison, kanak-kanak pada peringkat ini mula mendapat pengalaman baharu dan berfokus kepada pembelajaran pengetahuan dan kemahiran baharu. Namun, murid pada peringkat ini memerlukan struktur dan prosedur-prosedur kerja yang jelas agar mereka boleh berfungsi dengan baik di dalam bilik darjah. Oleh itu, guru perlulah membina peraturan dan prosedur untuk mentadbir aktiviti dalam bilik darjah. Peraturan merupakan pernyataan yang menentukan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh murid. Contoh peraturan yang biasa ditemui ialah setiap murid perlulah mempunyai rasa hormat, mesra dan bersifat membantu rakan-rakan mereka, murid perlu menyiapkan tugasan mereka dan murid perlu mengangkat tangan mereka jika mahu menjawab sebarang pertanyaan.  Mengikut Model Pengurusan Kounin, asas kepada keberkesanan pengurusan disiplin bilik darjah bergantung kepada pengawasan dan penyeliaan yang teliti guru terhadap bilik darjah. Faktor utama dalam menguruskan tingkah laku di dalam bilik darjah menurut Kounin adalah berkaitan dengan kebolehan guru untuk mengawasi semua perkara yang berlaku di dalam bilik darjah. Contohnya, dalam gerak kerja kumpulan, seorang guru berjaya mengawasi dan berinteraksi dengan semua kumpulan kecil walaupun pada ketika itu dia sedang mengajar kumpulan yang tertentu. Dengan kepekaan ini, seorang guru berupaya menjangka masalah yang akan timbul dan selalunya dapat menghalang masalah daripada menjadi semakin serius.

Selain itu, guru juga akan membentuk rutin di dalam bilik darjah untuk aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan. Rutin ialah prosedur atau langkah-langkah yang mesti diikuti oleh murid dalam aktiviti spesifik mereka. Rutin bertujuan melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. Contoh amalan rutin ialah guru mengambil kehadiran setiap hari, cara mengedar dan menyimpan bahan pengajaran, membentuk kumpulan dalam kelas, menghantar buku latihan atau kerja rumah dan lain-lain. Setiap rutin yang dibentuk hendaklah sentiasa dipantau dan diberi peneguhan sehingga prosedur-prosedur ini menjadi satu budaya dalam kalangan murid dan seterusnya menjadi suatu budaya di sekolah tersebut. Untuk mendapatkan hasil yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan Model Akibat Logikal Dreikurs di mana menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah.


Kondusif ke bilik darjah ini???


















0 comments:

Post a Comment